Friday, February 19, 2016

Tiles / Jubin Rumah


Part 1 - cerita mencari tiles rumah yang berkenan di hati juga sepdan di poket.

Macam biasa kalau rumah tengah renovation mesti kita nak kena carik jugak sikit2 barang..macam aku, aku suka pilih barang sendiri dari biar kontraktor yang pilihkan. 
Rupanya kerja nak carik tiles pilihan hati ni pun penat jugak..saban minggu aku pegi kedai tiles sampai anak2 dah muak..aku rasa mau 20 kali aku pegi kedai tiles berbilang tempat.Huhu...tapi percayalah..ini ialah passion aku. Sejak aku sekolah aku suka buat plan rumah macam yang selalu aku sketch kan tu. Kiranya sekarang ni macam impian hampir terlaksana gitu.



 Masa mula2 nampak tiles ni, aku cam lompat2 nak sangat...sekalinya baru ku tau sekotak ada 6pcs dan coraknya adalah random.Aku tak jadi la nak beli, takut serabut pemandangan nanti, harga sekeping RM11.++ kat kedai Jubin Super Ceramic.


 Yang ini pun aku suka...tapi mahal..RM19.50/sekeping, waaa kuat jugak ingatan aku ni..masih boleh ingat harga tiles ni. 










ini pun cantik kan...yang ini dari Homepro. harganya tak berapa mahal, sekeping dalam RM5 lebih.

Ok, tunggu next entry ye.

Extend Kitchen - Renovation Under Progress!


Salam semua,

Lama tak update, kali ni nak buat catatan pasal kami extend dapur rumah belakang. Selama bertahun2 kami menetap kat sini, dapur aku cuma selebar 5'x14' jer.
Alhamdulillah, apa yang ada aku guna je dulu. Rumah ni kami beli daripada orang yang sewakan rumah ni dulu, pakcik tu bekas Polis, dia nak pencen dan balik kampung jadi bila dia cakap nak jual tu...kami usahakan jugak untuk membeli. Malas la nak pindah randah, barang makin banyak tahun ke tahun.

So ini kiranya progress rumah fasa pertama, kami buat jenis atap konkrit (slab), sebab nanti kalau ada duit lebih ke boleh la tambah bilik kat atas dapur ni pulak.





Lubang2 ni dikorek untuk buat tiang. Kawasan rumah ni kalau tak buat basic yg kukuh nanti dalam masa 3-4 tahun mula la retak dinding. Macam jiran2 sebelah..semua dinding dah meretak.Bahaya!

 Ini la rupa dapur aku yang masih virgin lagi...orang lain semua dah menambah rumah sejak dulu lagi.

Ok, kontraktor pilihan setelah di timbang tara mengikut bajet kami..

TS Design & Construction, Bukit Kemuning Shah Alam.

Fasa pertama kami berlalu dengan cepat sekali, 2 minggu dah naik semua.

Thursday, December 17, 2015

Ubahsuai Rumah - Dapur Tambahan??

Baca la tajuk tu...siap tanda tanya lagi...

Al kisah nak menambah la sesikit dapur rumah buruk kami tu...
panggil kontraktor 3,4 orang. Saya prefer orang kita sebab saya harap saya dapat bantu orang sendiri...malangnya..antara mereka selalu tak tepati janji pada pertemuan pertama sekali pun, macam mana kata nak tolong, harap orang kita dapat ubah mentaliti tak apa tu.

1) Kontraktor pertama sangat dedikasi, orang kita..janji pukul 9 pagi, tepat sampai seperti yang di janjikan dan esoknya terus email quotation, tapi tak pernah follow up pun.

2) Kontraktor ke-2, alamat dekat jer ngan kawasan rumah kami, tapi janji pukul 10.30 pagi, 12.30 baru sampai.

3) Kontraktor Cina - lebih efisyen sebab janji pukul 12.30 pukul 12 dah sampai, haaa apa cerita orang kita ooii, esoknya keluar quotation buat temujanji lagi..pukul 1 patut jumpa 12.30 juga dia dah sampai.Dan follow up setiap masa, naik rimas gak.

4) Kontraktor ke-4 , ukur lebih kurang, bajet2 sampai 70k-80k, padahal orang lain bagi harga paling mahal pun 62k (atas kerja2 yang sama), mintak email address tapi sampai la ni takde email pun quotationnya.

Ada lagi satu malas la nak cerita ..janji nak datang lepas tu senyap.Then fine, kita tutup buku dan decide.

So far dapat 2 je pun quotation, dari kontraktor pertama dan kontraktor cina tu, harga lebih kurang cuma hat yang orang kita tu tak beri penerangan  pun, nak kena buat permit berapa pulak harganya ke? nak apply ke tidak? semua tak bincang, mungkin dia ingat kita saja-saja tanya kot...keputusan kami tentulah pada kontraktor yang beri komitmen sepenuhnya.

Ok, pening rupanya nak tambah rumah ni ye..padahal dapur sikit je pun, jom tgk layout anganan kami.

Ini layout dapur

Bilik Air

Pintu Dapur

Dapur - cantiknyalah dalam gambar ni    



Okey..till then.Bila projek start saya update lagi.

Monday, December 7, 2015

Belanja Masuk Sekolah 2016

Salam semua...
sedia maklum tahun ini antara tahun2 yang amat ketat untuk poket berbelanja itu dan ini, semua harga barang dan perkhidmatan ada caj tambahan, yang takde kena caj pun sengaja nak naikkan harga barang.

Aku selalu sedar kalau itu lah gayanya..walau gaji naik 4-5 ratus tapi tetap banyk itu jugak yang aku boleh belanja (sebab bila naik gaji naik juga harga barang..so sama je) maknanya memang tahap tu je rezeki yang Allah nak beri pada kita. Berdoa lah minta dicukupi.

Ok, oleh kerana next year 2016 aku ada 2 orang anak nak bersekolah..selama ni Feesa je..thn depan Umar dah masuk darjah 1..dah besar anak bujang aku. Maka strategy berbelanja aku kena mengikut keperluan, tepat dan jangan tergelincir dari matlamat bajet aku.

Sejak bulan 9 aku dah beli baju sekolah Umar, Mula2 beli baju sekolah 2 helai, kemudian beli baju melayu sepasang..lepas tu aku dah malas...hahaha..
Jadi gaji bulan lepas aku dah beli semua keperluan Umar..so lengkap semuanya.

Baju Melayu x 2 pasang
Baju sekolah rendah x 2 pasang
Sampin x 1 helai > nak kena top up lagi sehelai

Kain baju Feesa tahn ni aku cadang nak tempah, memandangkan selalu aku beli pun nak kena potong kain dengan tangan baju.Upah potong aje dan 7 ke 8 ringgit..forget it.Aku beli kain ela siap2 dan mintak tolong adik ipar aku jahitkan.Kain dah beli cuma belum hantar, aku harap sempat.

Baju kurung sekolah x 4 pasang (sekolah kebangsaan & sekolah agama)
Tudung  x 2 helai

Kekasut belum beli lagi, ingat nak pegi BATA warehouse sale tapi tak sempat la kot..maka aku beli kat sini2 je, TESCO ke GIANT.Sorang 2 pasang.

Alat tulis aku beli masa Beacon warehouse sale last week. Semua dapat la kaler sorang satu ngan set pencil.Jadik la.

Huwaaa...
banyak jugak aku tak beli lagi ni...bajet aku tinggal 500 jer lagi, nak beli kasut 4 pasang, tudung Feesa lagi 2, beg 2. Harap semua cukup.

Bila bukak sekolah lain pulak belanjanya..
Yuran Umar masuk darjah 1 sekolah rendah RM100 lebih, sekolah agama pun 100 lebih
Yuran Pica sekolah agama 240 kot..
Yuran Hamzah pun rasanya RM60++

Yuran saja 600 bajetnya.

Aku masih mampu nak korek sana sini..sedih bagi yang tak cukup duit nak korek sana sini...
tak beli baju baru sorang 2 pasang pun takpe..beli lah dulu sorang sepasang, pakai lagi sepasang hat yang lama..nanti bajet dah tak tight sangat bulan 2 ke boleh la beli yer.

Overall....
Belanja sekolah sorang anak RM700 ke RM750 tahun ini.
Mak ayah...moga rezeki kamu bertambah.






Emas Murah Kuala Pilah!

Salam all...

yeaaayy aku pegi Kuala Pilah juga akhirnya hari Sabtu yang lepas, harga di setiap kedai adalah berlainan. Aku pun cuma pegi 4 kedai ni jer..
LEE WAH - RM140/g
POH KONG - RM141/g
CHEAH POH HING - RM140/g
CHAN KWONG - RM150/g

Masuk Lee Wah..aku jenguk2 je sebab dulu pernah terkena beli cincin upah mahal..mintak kurang tak kasik dia..maleh nak datang lagi.

Masuk Poh Kong (tak pernah masuk & beli lagi) - jenguk2 je dulu, gelang banyak yang cantik.

Seberang ke jalan sebelah masuk Cheah Poh Hing - orang ramai, barang biasa2 jer, gelang tak menarik, rantai biasa2 jerk.hahaha

Jalan lagi ke depan masuk Chan Kwong - aiiyaaa manyak mahal..RM150/g..maleh nak tanya..jenguk2 dan keluar...

ulang kedai no.1 balik..hahahaha then decide nak beli kat kedai POH KONG..sengal kan..itu la pompuan.

Mintak rantai tangan..cuba itu cuba ini..nak yang keras kejap nak yang lembik..kejap nak yang padu letak balik ambik yg kosong, tak best pulak ambik yang padu balik. tengok berat? telan air liur!
Tengok rantai leher pulak...nak yang halus je...ambik itu keluar ini, cuba2 nak yang paling pendek sekali..belek2 suruh apek simpan semua.

Pegi tempat gelang balik..keluar itu tunjuk ini pandang tempat lain jugak.Suruh potong bagi pendek siap ukur bagai..hahaha stress ngko. Selamat laki aku steady!
Pang pung pang... 3 barang aku dapat last week.Alhamdulillah, ada orang belanja...rantai tangan, rantai halus ngan loket.
Nak tengok ke? heheh nanti lah..tak snap pun..semua dah bungkus.







Aku ada hati gak nak beli rantai cam tali break basikal ni...tapi setiap satu mau 30g lebih...lepas tu aku tak nak pun pakai.Habis buat mende beli..dasar!!



Thursday, December 3, 2015

Harga Emas Terkini December 2015-Turun!

Salam semua...

seingat aku ...tahun lepas aku ada update gak harga emas bulan December dan ternyata time tu aku tulis juga harga emas turun lagi.

Yess...nampak gaya trend nya macam ni...bulan 12 jer harga emas sedikit turun...jadi standby la thn depan kot2 ada yang nak membeli emas..pphhuuuhhh bulan 12 sebenarnya bajet paling tight la ..anak nak mula sekolah bagai.Selamat baju sekolah Umar dah siap2 beli sejak bulan 9!

Okeh meh aku update harga emas terkini :

Harga emas semalam > Kuala Pilah > RM138/g
                                   > Poh Kong > RM180g

Hari ini > Kuala Pilah > 136/g
             > Poh Kong > ?? tak tahu sebab aku tak pegi tanya...tapi aku yakin kalau setakat Pilah turun 2 ringgit kedai besar2 ni tak turunkan pun...hampeh kan!

Hari Sabtu nanti kalau laki aku cuti dia ajak pegi Kuala Pilah...harap2 makin murah...jadik la daripada beli RM180 ke RM175 kat Shah Alam ni.




Wednesday, December 2, 2015

New Perfumes??

Assalamualaikum semua,


Lama tak cerita pasal perfume, aku kira manusia yang suka bau-bauan yang wangi untuk pakai...untuk diri sendiri dan suami... bukan orang lain bau. Sebabnya aku rasa bila aku pakai aku sorang jer yang bau...kejap je masa sembur lepas tu takde bau dah.
Ntah la aku jenis tak tau pakai ker cemana ntah...memang ada sesetengah orang bila dia pakai wangian kita berdiri sebelah pun boleh bau..lepas dia jalan pun bau masih tertinggal...cemana eekk??

Hmmm takpe..tak kisah lah..

BTW ini ialah perfume yang aku pakai sekarang...


OOhhhh...bau dia memang best! Tak sia2  beli botol besar kongsi pakai dengan laki sekali...beli sejak bulan 4 sampai sekarang masih ada setengah botol. Aku beli by pre order daripada seorang seller, set ni 100ml + body losyen cuma RM270 tak silap..lupa dah! Sebelum tu aku dah tengok kat kaunter, harganya RM340 la kot.So jimat ler sikit.

Sebelum yang ini aku pakai yang ini


Botol besar gak aku beli...hampir setahun jugak baru habis, yang ini pun aku beli murah rasanya tak sampai 200, beli masa sale Krismas kat Aussie.
Bau dia antara yang aku suka...eehhh aku jarang tersilap beli perfume tau..kecuali ESCADA yang sebelum ni..aku tak berapa suka lalu pulun suruh laki aku pakai..eehhh dia suka jerk!

New perfume...?? tunggu la...belum ada pitis..tapi wishlist dah ada...

Jeng jeng..


Yang ini...tak pernahnya nak sale jatuh rege bawah 250..paling murah aku rasa 300 la kot,itu pun botol kecik..kalau murah2 benor tu sah sah la ciplak.Tunggu la..kalau ada duit!




Friday, November 27, 2015

PROMOSI EMAS HABIB!

Salam all,

Lama tak cerita emas..

Habib Jewels tengah rancak promote "HABIB GOLDEN EGG BONANZA", katanya promosi macam ni masuk kali ke-2 sejak yang pertama pada tahun 2001. Wow!

Semalam aku saje-saje jalan tengok kedai emas, ada hajat nak membeli tapi takde mood nak memakai...so tengok-tengok saja la ending nya.
Laki aku dah penat tunggu, last2 kena marah sebab tak jadi beli.Alahai bang....untung ler dapat bini gini, dapat tengok aje dah puas hati...haha!

Jom ler cuci mata..
BTW harga emas hari ni memang sangatlah mahal...RM180/g tapi Habib bagi less RM10/g. Still mahal sebab kat Pilah RM150/g je.





Thursday, November 19, 2015

Sessi berangan



Assalamualaikum semua....

lama dah tak menulis, takde benda menarik nak kongsi kecuali hari ni nak cerita pasal gadget dapur yang menarik.

Kesukaan aku dan adik beradik hampir sama tapi ada jugak yang tak sama lansung.
Yang sama cuma kami adik beradik suka gadjet dapur.Abang aku suka barang2 macam pisau2 dapur, aku pulak sibuk dgn periuk cantik dgn pinggan mangkuk tapi sekarang dah kurang sikit. Adik aku pun sama..sibuk nak berkuali baru dan dah pandai beli Corelle jugak.

Hahahah....menurun dari emak ni agaknya..mak memang suka beli pinggan, masa aku kecik aku cakap kenapa mak pinggan kita banyak sangat, orang sikit.

Hehehe...hari ni nak kongsi Kitchen Aid Kettle...gayanya menraik tapi harganya jangan kau tanya...aku tak pasti sanggup beli ke tak? Yang penting jom cuci mata.








Comel gile kan...huwaaaaa (sambil nangis di tepan bucu katil).

Wednesday, October 21, 2015

Tugu Negara

Ini kisah cuti Maal Hijrah yang lepas...
tak pernah lagi sampai sini..bawak Umar yang sangat bercita-cita nak jadi askar atau polis, aku pun tak tau mana satu yang dia nak jadi sebenarnya.

Dia sangat berjiwa patriotik okey...
Suatu hari dia kat rumah tengah berkawad tegak..bapak dia cakap "Umar ..mama tak kasi Umar jadi Polis"tetiba terus dia lembik cakap.."kenapa Ma?"...

alahai...kesiannya anak..
Jadilah yang kamu nak sayang...asal kamu selamat dunia akhirat..itu sahaja.











Feesa Dah Boleh Masak!

Assalamualaikum...
lama dah tak update, anak aku Nafeesa dah 11 tahun...
dah pandai memsak pun dia..Alhamdulillah...
kadang sedap kadang rasa macam biasa je lah..macam budak2 punye rasa masakan..
tapi kadang2 masakan dia boleh bikin mak jeles.

Minggu ni dia asik masak kue tiaw goreng, biasanya macam tu la, kalau dia tengah nak rajin practise tu asiklah masak benda yang sama..pernah seminggu aku asik makan lauk sambal tumis je sbab dia tgh semangat sangat nak masak lauk tu.
layan je la..yg penting aku tak payah dah nak masak2 balik keje.

Paling win dia pernah masak gulai ayam...masakan yang aku sendiri pun tak pernah masak benornya. Dia nak masak kari mulanya tapi bila aku godek stok rempah kari takde, yg ada rempah gulai..lebih kurang kari cuma takde santan kan?

OMG anak aku umur 11 tahun dah berhasrat nak masak kari...aku dulu umur 11 tahun masak air je tau..masak nasik pun tak start lagi aku rasa masa tu..anak aku pandai masak nasi masa umur 8 tahun..huhu...time kasih mak..mak aku yg banyak ajar Feesa mula2 kenal masak2 ni.
Kadang dulu mak aku sampai cakap..aku malas nak masak...anak ko asik kacau je, aku nak potong sayur dia nak buat, semua dia nak buat..masa tu Feesa baru umur 3 trahun..kadang mak aku nak masak kena tunggu dia tido..hahaha.

Cuti sekolah nanti aku ingat nak hantar dia belajar memasak dengan saudara mara memandangkan takde kelas memasak lauk pauk untuk kanak-kanak...dan aku rasa lagi berbaloi belajar dengan orang2 yang lebih berpengalaman masak untuk keluarga dari sekadar ikut kursus yang kena bayar je nih.
Sepupu aku terror masak asam pedas dan nenek Feesa kat kampung hebat dengan masakan Negeri Sembilan nya...masak lemak mak mertuo den memang jadi kegemaran anak cucu...elok la Pica tambah ilmu 2 resepi ni cuti sekolah nanti.

Aku harap ilmu ini berguna untuk kehidupannya kelak.

InsyaAllah..


Till then


Friday, October 9, 2015

Salam Jumaat

Assalamualaikum....

Fuuhhh...lama tak update, berhabuk bersawang....
keje tempat baru ni...busy giler, aku suka tapi mamng takde masa betul la nak bersosial di alam maya.

cukup lah kot...dah tiba masanya aku slow down kan aktiviti bersosial di alam maya.

Ada yang nak dikongsi bersama...nanti ye..

till then.

Tuesday, August 4, 2015

Bilik Air Baru - Floor Plan Ideas


Assalamualaikum semua,
Salam Aidilfitri....takde cerita raya tahun ni..tetiba timbul idea nak buat bilik air baru, ini cuma idea sahaja...hakikatnya belum tentu.

Yang penting berangan tu free.






Wednesday, July 15, 2015

Salam Aidilfitri 2015

Sekejap masa berlalu...
Ramadhan sudah tiba ke penghujung
salam maaf untuk semua...
cukuplah Ramadhan untukku...
ku hadiahkan kegembiraan Syawal buat anak-anakku.

Wednesday, July 1, 2015

Marhaban Ya Ramadhan

Assalamualaikum,

Salam Ramadhan...sekejap saja dah 13 Ramadhan kita puasa, kali ni terasa lainnya Ramadhan yang aku lalui, kali pertama emak tidak lagi bersama kami dan selamanya ...


Kadang kala rindu datang bertaut, kadang kala macam terasa emak masih ada di rumah tu, sedang duduk2 macam selalu...senyum lebarnya, muka kerutnya, bunyi suaranya...itu dulu, kini tinggal kenangan.

Alfatihah untuk emak tersayang...

Salam Ramadhan untuk semua.

Wednesday, April 29, 2015

Jangan suka Bertangguh ....

Satu sikap buruk aku kadang kala ialah suka bertangguh...
Banyak perkara aku dah terlepas  terutama impian aku untuk emak yang aku tangguh-tangguhkan...
banyak benda aku dah niatkan untuk mak tapi aku tangguhkan..
akhirnya bila mak dah takde semua niat2 tu jadi sia-sia...
aku pernah berniat nak belikan mak rantai emas yang sama macam mak pernah ada dulu, rantai mak tu dia  dah jual, ntah masa bila aku pun tak tau..tapi katanya masa tu dia perlukan duit...tapi tak pernah aku tahu masa bila mak kesuntukan duit tu...itulah mak kita,
walau sesusah mana pun mereka takkan sesekali bebankan anak2 dengan masalahnya, malu aku jadi anak tak perasan bila masa ketika mak susah.

Jadi lepas beberapa hari mak meninggal, aku berusaha untuk tidak menangguhkan apa-apa permintaan ayah atau keluarga aku lagi juga permintaan untuk diri sendiri...yang penting dalam kemampuan.
2 bulan sebelum ni ayah selalu cakap, beg duit dia dah tak boleh zip, jadi dia nak yang baru dari aku...itu kegemaran ayah...kalau dia nak sesuatu yang baru macam tali pinggang atau wallet atau selipar, ayah memang akan mintak dengan aku...tapi masa ayah mintak tu aku belum gaji plus belum waktu sales...maka aku tak pegi beli sampai beberapa hari lepas mak meninggal. Masa tu aku tidur penat sangat, tengah hari tu aku bangun dan terus pegi kedai beli wallet utk ayah, aku takut aku tak sempat tunaikan permintaan ayah macam aku pernah angankan nak belikan mak rantai emas dulu.

Tahu tak..Allah maha pemurah dan Maha Pendengar doa-doa kita...
banyak yang aku nak ubah untuk diri aku...dalam hati aku selalu sebut aku nak mula pakai sarung kaki...
tapi asik tertangguh, tak sempat beli la, tak jumpa yang macam aku nak la, nak yang macam ni la..nak macam tu la...
tiba-tiba beberapa hari lepas mak meninggal dalam beg aku selalu bawak telekung masa jaga mak kat hospital aku jumpa sepasang stokin hitam dan aku rasa sesuai sangat stoking tu untuk aku, dan aku suka....jadi sekarang aku mula berjinak-jinak nak pakai stokin walau orang lain sebenarnya dah lama pun pakai...mintak ampun lah Ya Allah, aku ini hamba yang jahil.

Hari ini genap 34 hari mak pergi tinggalkan kami, tak pernah aku lupakan setiap hari mengira berapa hari sudah mak tinggalkan kami...seperti kita mengira berapa hari umur anak yang baru kita lahirkan, begitu juga rasanya kasih yang mak kita curahkan buat kita suatu masa dulu semasa hayatnya untuk anak-anaknya.


Aku mohon maaf kalau dulu aku memandang jauh status2 kawan-kawan yang kerinduan arwah ayah bonda mereka, maklum belum masa kita merasa semua itu, tapi sesungguhnya perasaan itu sangat pilu untuk disimpan sendirian, aku memang suka menulis, dengan cara ini aku dapat luahkan semua isi hati aku, aku tak pandai luahkan perasaan melalui bicara sebab aku ini pemikir orangnya bukan jenis yang petah berbicara...jangan tak tau dengan suami sendiri pun aku tidak berbicara soal hati...


Segunung doa untuk emak dan ayah, semoga perjalan mereka selamat sehingga kita bertemu lagi di akhirat kelak...adik sayang mak & ayah.

Wasalam.

Wednesday, April 22, 2015

Mak Adik nak Bagitahu ....

Adik dapat kerja kat tempat baru, start 6/5/2015 kat seksyen 13. dekat sikit dari rumah nanti, masuk pukul 9 balik pukul 5.30ptg, mak doakan yer>> kalau mak aku masih ada, ini yang aku nak ceritakan pada dia.

Berita gembira ini selalunya aku akan cerita pada mak dulu sebelum cerita pada Am...pagi tadi aku pegi kubur mak, aku cakap gitulah jugak. eerrmmm


Tuesday, April 14, 2015

Shopping dengan Sugarscarf Online - Senang !!


Aku ni bukanlah seorang penggemar fesyen yang setia macam kawan-kawan yang lain. Jika hendak dibandingkan dengan orang lain, aku ni tidak berapa tahu tentang trend fesyen, selalu ketinggalan fesyen muslimah terkini yang sedang hangat dalam pasaran. Malah aku tidak sentiasa keep updated dengan trend fesyen terkini popular macam mereka. Namun beberapa minggu yang lalu, apabila mengemas almari pakaian di rumah I found out I actually need new hijab,hehe!
I can’t even remember when the last time aku beli tudung baru. Daripada situ aku minta pertolongan/pendapat my BFF dan mereka telah berikan bermacam-macam pendapat untuk aku. Daripada senarai jenama fesyen Muslimah terkini popular yang mereka berikan aku agak tertarik dengan jenama Sugarscarf.






I did google about the brand dan terus-terang, aku macam terus jatuh cinta right away! Eehhh kelasss sangat nak jatuh2 cinta senang-senang macam ni kan... Koleksi tudung terkini wanita Sugarscarf online menawarkan pelbagai produk hijab terkini yang sangat menarik untuk dipilih. Apa yang lebih best tentang Sugarscarf ialah mereka menghasilkan tudung moden untuk wanita dengan variasi rekaan yang pada pendapat aku sangat segar dan menawan yang mana ianya sangat bersesuaian dengan trend fesyen Muslimah semasa. Iye lah...tengok semua kakak-kakak adik manis pakai tudung macam ni kan...aku pun nak la jugak try pakai.

Sejujurnya aku juga agak cerewet dalam memilih tudung, sebab tu memang jarang sangat beli tudung baru. Ini kerana tidak banyak jenama tudung yang berpatutan menawarkan kualiti yang aku cari. Namun pencarian itu berakhir dengan jenama hebat ini. Aku rasa antara faktor yang membuatkan mereka sangat popular dalam kalangan wanita yang memakai hijab di Malaysia adalah kerana mereka tidak pernah gagal dalam menghasilkan tudung yang berkualiti. Koleksi tudung terbaru wanita mereka adalah bukti bahawa mereka sentiasa berusaha untuk menawarkan produk fesyen Muslimah yang terbaik untuk pelanggan. Banyak jugak testimony orang lain yang suka dengan produk Sugarscarf ni. Kalau disebut tentang harga pula aku teramatlah berpuas hati sebab harga tudung Sugarscarf adalah yang terbaik dalam pasaran di Malaysia kerana kualiti yang ditawarkan juga adalah sangat baik, harga mampu milik, aku rasa tudung-tudung aku sebelum ni lagi mahal2...so dengan harga macam ni lagi banyak la aku boleh beli...hehe!
Jom tengok tiga gaya padanan tudung Sugarscarf wanita terkini bersama pakaian Muslimah kegemaran aku...ini mode berangan okey, layan!


Aku suka warna ni...purple ke biru cantiknya.


Yang ni pun warna kegemaran...nude colour...relax je nampak.




Yang ini nampak cantik....aku suka tapi tak berani nak pakai...haha jangan tak tau aku ada seluar kaler oren macam ni tau..hah! boleh la beli tudung oren macam ni...barulah sepadan, tudung oren baju putih pun okey & seluar oren.

Till then...jom shopping.

Popular Posts